KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemui mayat seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh dari sebuah kapal di perairan Teluk Sepanggar, sini, pagi kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai La Hasuba, seorang warganegara berusia 38 tahun yang ditemui pada pukul 11.02 pagi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan berhubung insiden berhampiran Markas Tentera Laut Diraja Malaysia itu diterima pada 8.42 pagi melalui talian MERS 999.
“Operasi pencarian kaedah permukaan air dan selaman sekitar lokasi kejadian turut dibantu oleh orang awam.
“Mangsa ditemui pada kedalaman empat meter tidak jauh dari mana beliau dilaporkan hilang.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak Maritim untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Seramai enam anggota PPDA bertindak ke lokasi bersama lapan lagi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu menamatkan operasi pada jam 11.13 pagi.