Program Merdeka Semarakkan Semangat HKHM 2021 Di PPV Kampung Dato

Program Merdeka Semarakkan Semangat HKHM 2021 Di PPV Kampung Dato

0
SHARE
Jalur Gemilang dan bendera Sabah dinaikkan semasa nyanyian lagu Negaraku dan lagu Sabah Tanah Airku...

KOTA KINABALU, SABAH – Tepukan gemuruh dan ucapan terima kasih dilaungkan petugas dan juga penerima vaksin sebaik sahaja Nyanyian Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku berakhir dalam Program Merdeka@Komuniti sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Dato pada Rabu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri N.18 Inanam, Datuk William Majimbun berkata, walaupun sambutan HKHM tidak semeriah dahulu tetapi semangat patriotisme harus tetap hidup dalam diri setiap rakyat Malaysia.

“Sambutan sederhana tetapi meriah pada hari ini membuktikan bahawa masyarakat amat merindui momen-momen indah sambutan HKHM yang sebelum ini disambut meriah tidak kira di peringkat kebangsaan, negeri, mahupun kampung…

“Justeru, suka saya mengingatkan kepada mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin agar segera mendapatkannya agar kita boleh mencapai sasaran komuniti kelompok dan secepatnya beralih kepada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara,” ujarnya.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN N.18 Inanam, Datuk William Majimbun…

William turut merakamkan penghargaan di atas usaha Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah dalam menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat setempat.

“Sekalung penghargaan kepada Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah khususnya  Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu yang telah memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat berkenaan COVID-19 dan dasar-dasar kerajaan malahan secara tidak langsung menyemai semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat…

“Sebagai sokongan kepada usaha ini, saya bersama pemimpin-pemimpin masyarakat DUN N.18 Inanam memakai pakaian tradisional mengikut suku kaum masing-masing sebagai satu Keluarga Malaysia hari ini,” ujarnya semasa ditemui pemberita pada program tersebut.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Puan Hasmawati Karodda berkata,  program berkenaan merupakan kesinambungan daripada Program Merdeka@Komuniti yang telah dilaksanakan di kampung Numbak pada 14 September lalu.

“Sepanjang Sambutan HKHM yang bermula pada awal bulan Ogos, Pejabat Penerangan Daerah Kota Kinabalu telah melaksanakan program Info On Wheel (IOW) Merdeka pada setiap hari melalui hebahan unit bergerak…

Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Puan Hasmawati Karodda…

“Kami juga turut mengedarkan bahan penerbitan dan Jalur Gemilang kepada orang ramai di Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar yang melibatkan enam Dewan Undangan Negeri di bawah kedua-dua Parlimen tersebut.

“Program IOW ini akan diteruskan lagi sebagai usaha untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan Pembudayaan Norma Baharu, Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19, Kempen Imunisasi Kebangsaan Vaksin COVID-19 kepada orang ramai dan dalam masa terdekat, kami juga akan melaksanakan Program Sepakat@Komuniti di beberapa kawasan,” kongsinya.

Pada program, Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Nasional merangkap Ketua Armada Bersatu Sepanggar, Abqaree Fawwaz Abekan turut menyampaikan sumbangan beras kepada 200 penerima vaksin terawal di PPV berkenaan.

Abqaree menyampaikan sumbangan beras kepada salah seorang penerima vaksin terawal di PPV berkenaan…