KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terus mengelirukan rakyat dengan auta bagi memburukkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan semata-mata.
Pada Sambutan Pesta Kaamatan Warisan di Penampang Sabtu lalu, beliau menuduh bahawa GRS melalui Sabah Development Bank Berhad (SD Bank) telah kononnya meminjamkan wang berbilion ringgit kepada syarikat yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
VIDEO tular Shafie berucap yang mana didakwa berbaur fitnah terhadap kerajaan GRS…
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bagaimanapun telah menamatkan helah Shafie dengan penjelasan bahawa kemudahan sebanyak RM3.2 bililon telah diluluskan kepada Semenanjung dalam tempoh 2001-2019.

Justeru, satu laporan Polis akan dibuat ke atas Shafie kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dilihat secara jelas bertujuan berniat jahat dan cubaan untuk memesongkan fakta serta menunjukkan kononnya GRS telah melakukan salah laku sehingga membawa bencana kepada kewangan negeri Sabah.
Zulkarnain dalam kenyataannya turut berkata, pada tahun 2020 semasa Warisan mempunyai kuasa memerintah kerajaan negeri Sabah, parti Warisan pernah meluluskan pinjaman kepada Air Asia Berhad berjumlah RM300 juta melalui Development Bank (SDB) sedangkan kelulusan tersebut dibuat semasa banyak syarikat yang berpangkalan di Sabah amat memerlukan bantuan kewangan akibat terjejas dengan wabak COVID-19.
“Warisan buat seketika memegang tampuk pimpinan Negeri Sabah pada tahun 2018. GRS cuma ditubuhkan pada tahun 2020…
“Selepas berjaya menumbangkan Warisan pada PRN-16, GRS sekaligus terpaksa memikul tugas untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan kerajaan sebelumnya.
“Masidi dalam satu kenyataan telah menjelaskan terdapat 20 akaun berjumlah kira-kira RM3.3 bilion yang diberikan oleh SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak 2001…
“Daripada 20 akaun ini, 19 akaun tidak berbayar berjumlah kira-kira RM3.1 bilion. Baki akaun sebanyak RM100 juta telah diberikan dalam tempoh 2020 sehingga Mei 2024. Ini untuk meneruskan projek bagi peminjam Semenanjung sedia ada yang akaunnya dengan SDBank wujud sebelum 2020 dengan matlamat utama prospek pemulihan yang lebih baik.
“Dapat dilihat bahawa tiada pinjaman baru diberikan oleh SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak kerajaan GRS mengambil alih,” jelas Zulkarnain.

Tambahan, sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi untuk SD Bank, Bahagian Syarikat Pengurusan Aset baharu telah disediakan sejak September 2023.
Zulkarnain turut menjelaskan bahawa pelan tersebut adalah untuk mendapatkan semula pinjaman itu secara agresif dan keluar dari Semenanjung Malaysia menjelang akhir 2026 atau lebih awal.
Dalam ucapannya, Shafie turut menyatakan bahawa jika pinjaman itu diberikan ‘ah-long’, sudah lama rumah si peminjam ditarik.
“Istilah ah-long ini telah lama diguna pakai Masidi dalam merujuk kepada keagresifan Kerajaan Negeri menagih hutang khususnya cukai tertunggak…