RANAU, SABAH – Seorang tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu bersama keluarganya pada 5.30 pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 53 tahun yang rebah di kilometer 8.3 laluan puncak.
Katanya mangsa memulakan pendakian pada Selasa lalu bersama isteri dan sembilan rombongan lain termasuk tiga Malim Gunung yang mengiringi mereka.
“Malim Gunung yang berada di lokasi telah memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkan mangsa.
“Mangsa kemudian diusung turun ke Timpohon Gate oleh pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kundasang,” katanya melalui kenyataan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk bedah siasat manakala kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).