WASHINGTON, AS – Varian COVID-19 Omicron menyebabkan kesan kritikal sama dengan varian sebelum ini, demikian pendedahan oleh satu kajian berskala besar di Amerika Syarikat (AS).
Pendedahan ini menolak dapatan kajian sebelum ini, yang mendakwa varian Omicron lebih mudah berjangkit tetapi tidak menyebabkan kesan kritikal.
Kenyataan yang dipetik BH melaporkan bahawa penemuan itu menganalisis gejala kritikal Omicron selepas mengambil kira kesan vaksin dan pakar menegaskan ia seharusnya mengukuhkan kepentingan pengambilan vaksin dan dos penggalak.
Vaksin membantu mengekalkan kekurangan kemasukan ke hospital dan kematian secara relatifnya rendah semasa lonjakan Omicron berbanding varian sebelumnya, berdasarkan kajian yang telah disiarkan di Research Square pada 2 Mei lalu itu.
Penulisnya, dari Hospital Besar Massachusetts, Universiti Minerva dan Sekolah Perubatan Harvard, enggan mengulas sehingga semakan selesai.
Kata mereka, ‘risiko kemasukan ke hospital dan kematian adalah hampir sama’ antara era Omicron dan masa dalam dua tahun lalu apabila varian berbeza dominan.
Kajian baharu itu, berdasarkan rekod 130,000 pesakit COVID-19 di Massachusetts.
Daripada hanya melihat jumlah kematian dan kemasukan ke hospital, seperti yang dilakukan oleh kajian terdahulu, ia mengambil kira status vaksinasi pesakit dan faktor risiko perubatan dan membandingkan kumpulan orang yang sama simptomnya.
Apabila varian Omicron pertama kali dikenal pasti lewat pada tahun 2021, pegawai kesihatan awam berkata ia menyebabkan simptom yang lebih ringan dalam sebahagian besar orang yang dijangkiti.





