Program SBST Tidak Akan Dilaksanakan Secara Mendadak

Program SBST Tidak Akan Dilaksanakan Secara Mendadak

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berharap pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-henti (Stage Bus Services Transformation Programme – SBST) akan disokong oleh semua pihak, khususnya pengusaha sedia ada.

Katanya, beliau akui akan timbul beberapa cabaran dalam melaksanakan program ini, namun beliau menekankan bahawa LPKP Sabah sentiasa terbuka untuk sebarang pandangan dari semua pihak terutamanya pengusaha sedia ada untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian berdasarkan kepada konsep ‘win-win’ yang akhirnya akan memberikan manfaat kepada semua pihak.

Beliau mengambil maklum bahawa satu perjumpaan di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dan ahli Persatuan Pemandu Dan Pengusaha Bas Daerah Putatan telah diadakan pada 4 dan 6 Ogos 2022 berkenaan kebajikan ahli persatuan selepas pelaksanaan SBST di Sabah khususnya di Kota Kinabalu.

Chin berkata, berdasarkan kepada rekod LPKP Sabah, jumlah keseluruhan Bas Berhenti-Henti di Kota Kinabalu dan daerah berhampiran adalah sebanyak 673 unit bas dengan pecahan 267 unit di Kota Kinabalu, 154 unit di Tuaran, 87 unit di Penampang, 68 unit., di Putatan dan 97 unit di Papar dan Kimanis.

“Lambakan unit Bas Berhenti-Henti yang kebanyakannya dimiliki secara individu ini telah menimbulkan beberapa isu dan cabaran kepada pengusaha sedia ada. Antara isu yang dihadapi adalah persaingan sengit lesen individu, pendapatan tidak menentu, kurangnya keyakinan penumpang yang menyebabkan semakin ramai yang memilih tidak menggunakan perkhidmatan Bas Berhenti-Henti serta kesesakan di hentian bas.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan menerusi LPKP Sabah melihat perlunya ada satu langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu pengangkutan awam di Sabah bagi memastikan sistem pengangkutan awam di negeri ini setaraf dengan sistem pengangkutan awam di negara maju, iaitu dengan melaksanakan SBST di negeri ini dan dimulakan di Kota Kinabalu serta daerah berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan pelaksanaan SBST, katanya, penyedia perkhidmatan pengangkutan awam di Kota Kinabalu dan daerah berhampiran akan dijalankan oleh satu syarikat yang akan menyediakan perkhidmatan Bas Berhenti-Henti yang lebih selesa serta efisien.

“Saya ingin menekankan bahawa program SBST ini tidak akan dilaksanakan secara mendadak…

“LPKP Sabah selaku peneraju program ini di Sabah telah, sedang dan akan mengambil langkah yang telus dan proaktif bagi memastikan pelaksanaan SBST ini akan dapat memberikan faedah kepada semua pihak yang terlibat sama ada pengusaha atau pengguna,” jelasnya.

Untuk makluman, katanya, LPKP Sabah telah mengeluarkan notis awal pada 26 Ogos 2021 sebagai makluman awal berkenaan penyusunan semula laluan dan menggabungkan perkhidmatan selaras dengan Seksyen 25B, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

“Selain itu, Mesyuarat Pelaksanaan SBST Kota Kinabalu bersama agensi kerajaan di Sabah juga telah diadakan pada 15 Mac 2021 dan menubuhkan empat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Laluan (dipengerusikan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu), Jawatankuasa Model Perniagaan (dipengerusikan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah), Jawatankuasa Infra (dipengerusikan oleh Jabatan Kerja Raya Sabah) serta Jawatankuasa Perundangan yang dipengerusikan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah.

“Penubuhan kesemua jawatankuasa ini adalah bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan SBST ini kelak adalah selaras dengan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya yang dapat memberikan faedah kepada penduduk negeri ini secara amnya yang mana hasrat murni ini turut dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah menerusi ucapan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa Persidangan DUN Sabah pada 20 Julai 2022,” katanya.

Susulan itu juga, tambahnya, LPKP Sabah telah mengadakan beberapa siri mesyuarat serta sesi libat urus bersama agensi dan jabatan berkaitan serta wakil persatuan pengangkutan awam yang turut dihadiri oleh Persatuan Pemandu dan Pengusaha Bas Daerah Putatan bagi menjelaskan idea, konsep serta mengapa perlunya SBST ini dilaksanakan di Sabah.

“Malah, dalam setiap sesi libat urus, LPKP Sabah sentiasa terbuka mendengar pandangan daripada wakil persatuan,” jelas beliau lagi.

Chin berkata, SBST telah dilaksanakan di Johor Bahru bermula Februari 2022 dan dijangka akan dapat memberikan faedah kepada 6.4 juta penumpang pada tahun pertama.

Dengan pelaksanaan ini juga, katanya, Johor Bahru dijangka akan menjadi hub pengangkutan dengan sistem pengangkutan yang lebih canggih.