KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 34 sambungan paip haram dari sebuah paip pengagihan di Kampung Suang Parai, Sepanggar, sini, dicabut Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), semalam.
Dua belas pam air yang ditemui sekitar kawasan parit berkenaan juga turut dirampas. Pam air terbabit juga mendapatkan kuasa secara haram dari sebuah tiang elektrik yang berdekatan.
Pengarah JANS, Baharom Sogon berkata penyambungan haram itu dialirkan kepada penempatan setinggan Kampung Bakau yang menjadi punca tekanan air rendah bagi penduduk Suang Parai.
“Kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) di Kota Kinabalu sahaja mencecah 38 peratus.
“JANS sebelum ini kerap melakukan operasi pemotongan di kawasan ini bagaimanapun masalah ini masih lagi berlarutan disebabkan faktor kawasan setinggan yang berhampiran dengan kawasan terbabit.
“Operasi seumpama akan dijalankan dari semasa ke semasa dan isu penyambungan haram terutamanya yang melibatkan utiliti memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak serta agensi berkaitan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.
“Usaha ini juga mampu memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air terawat yang berterusan kepada pengguna,” katanya.






