PROGRAM O2: BANTU RAKYAT KURANG MAMPU, PERLU BANTU PERALATAN OKSIGEN

PROGRAM O2: BANTU RAKYAT KURANG MAMPU, PERLU BANTU PERALATAN OKSIGEN

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melakukan gimik pelancaran Program Oksigen (02) Untuk Rakyat #SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring bagi memenuhi keperluan rawatan perubatan rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata program oleh kerajaan negeri itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).

Hajiji berkata, program itu dilaksanakan kerana kerajaan sedar bahawa peralatan
mesin oksigen dan tangki oksigen tidak mampu dimiliki oleh semua pesakit kerana
harganya yang mahal.

“Bekalan peralatan sedia ada di hospital tidak mencukupi dan pesakit juga terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapat rawatan.

“Selain itu, masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak berkemampuan dan amat memerlukan perkhidmatan itu, yang mana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.

“Berdasarkan keperluan itu, Program Oksigen Untuk Rakyat #SharingIsCaring ini
diperkenalkan. Usaha murni ini tercetus atas keprihatinan kerajaan negeri melalui YKS
dan SEC bertujuan membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan dan
memerlukan bantuan peralatan oksigen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Oksigen (02) Untuk Rakyat
#SharingIsCaring di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, beliau dimaklumkan sepanjang tahun 2022 hingga Januari 2023, Jabatan
Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen manakala 11 pesakit lagi memerlukan bantuan tangki oksigen.

Menurutnya, daripada 74 kes pesakit yang memerlukan bantuan mesin oksigen
tersebut, seramai 36 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu, 15 orang di Zon Sandakan, 14 orang di Zon Tawau, 7 di Zon Keningau dan 2 di Zon Beaufort.

Manakala bagi 11 keperluan tangki oksigen pula, seramai 6 orang pesakit direkodkan
di Zon Kota Kinabalu dan 5 orang di Zon Sandakan,” katanya.

Selain bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, beliau mahu pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh negeri ini membantu menguar-uarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang memerlukannya.

Hajiji berkata, menerusi program ini, peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen di tempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh Jabatan Kesihatan.

Bantuan ini diberikan kepada semua rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu adalah bertepatan dengan konsep dan
pendekatan “Malaysia MADANI” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri melalui
penerapan enam rukun teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

“Dalam konteks ini, aspek ‘kesejahteraan’ dan ‘kesihatan’ rakyat telah dijadikan
dimensi pengukur kadar kemiskinan bagi melihat tahap pencapaian negara ke arah
mewujudkan sebuah negara Madani yang menjadi impian kita semua.

“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, aspek kesejahteraan rakyat juga telah diberikan penekanan utama.

“Penubuhan YKS juga adalah satu platform kerajaan negeri untuk membantu dan mendekati golongan rakyat negeri ini yang memerlukan bantuan dan perhatian secara khusus,” tegasnya.

Hajiji yang juga Pengerusi YKS turut menggesa semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, badan berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan badan korporat untuk terus memberi sokongan kepada YKS dalam membantu golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas di negeri ini.

Katanya, cabaran utama yang dihadapi dalam usaha negara menggapai
kesejahteraan rakyat secara maksima ialah kurangnya fasiliti dan kekangan
peruntukan bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, penglibatan dan sokongan padu daripada semua pihak amatlah
diharapkan untuk membantu kerajaan negeri mencapai sasaran bagi mewujudkan
sebuah negara Madani dan Sabah Maju Jaya.