Polis Tawau Tahan 3 Individu Bersama Dadah Seberat 2 Kg

Polis Tawau Tahan 3 Individu Bersama Dadah Seberat 2 Kg

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Sebuah kenderaan jenis Perodua Viva hitam mencurigakan ditahan sepasukan polis IPD Tawaudari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) di Kilometer 37 Jalan Tawau-Semporna semasa operasi dijalankan.

Pemeriksaan polis ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat tiga orang iaitu seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga asing.

“Hasil soal siasat awal polis di tempat kejadian, kedua-dua suspek wanita mengaku ada membawa dadah jenis syabu di badan mereka,” ujar ACP Peter ak Umbuas, Ketua Polis Daerah.

Susulan pengakuan itu, ketiga-tiga suspek telah dibawa ke balai polis dan pemeriksaan badan yang dijalankan telah menemukan dua bungkusan mengandungi 20 plastik lutsinar dadah dipercayai jenis syabu dibalut pita selofan coklat pada bengkung yang dipakai oleh kedua-dua suspek wanita manakala suspek lelaki didapati tidak membawa apa-apa barang terlarang.

Berat keseluruhan rampasan dadah adalah 2016.99 gram dianggarkan bernilai RM72,720.00.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujian saringan air kencing pula mendapati hanya suspek lelaki yang positif dadah jenis Methampetamine.