JKR Sabah Dapat Pengiktirafan Bertauliah Daripada Kerajaan Persekutuan

JKR Sabah Dapat Pengiktirafan Bertauliah Daripada Kerajaan Persekutuan

0
SHARE
Pengarah Kerja Raya Sabah, Ir. Haji Ali Ahmad Hamid (dua dari kiri) dan Pengarah Kanan Kerja Raya Malaysia, Ir. Haji Badioezaman Khalik (dua kanan) bergambar selepas menandatangani Nota Kerjasama sambil dilihat Arthur (tengah) dan Bung (kiri)...

KOTA KINABALU, SABAH – Setelah 58 tahun selepas pembentukan Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah baru hari ini mendapat pengiktirafan bertauliah daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharapan bahawa jalinan perhubungan itu satu langkah serius dalam memperbaiki kelemahan yang ada bagi mencapai pembangunan setaraf dengan Semenanjung.

“Pengiktirafan itu bermakna kita (Sabah) setaraf dengan semenanjung dan boleh melaksakan apa juga program pembangunan infrstruktur di Sabah,” jelasnya.

Dalam pada itu, satu Nota Kerjasama antara JKR Malaysia dan Sabah bagi pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem (SKALA-PALMS) ditandatangani di Ibu Pejabat JKR Sabah pagi tadi.

Timbalan Menteri Kerja Raya Negara, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata melalui sistem tersebut, maklumat berkait projek pembangunan dapat diakses bersama.

“Perkongsian data ini juga akan mempercepatkan proses pelaporan kemajuan fizikal projek bagi membolehkan pemegang taruh (stakeholder) memperolehi maklumat dengan segera dan tepat serta menjimatkan kos…

“Ia sekaligus dapat meningkatkan kecekapan sistem antara Persekutuan dan Negeri selain merapatkan jurang pembangunan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata sebagai seorang anak watan Sabah, perhatian penuh dari kapasiti dirinya adalah kepada pembangunan infrastruktur negeri ini.

Bung manakala menekankan infrastruktur di Sabah masih daif meskipun telah merasai kemerdekaan selama lebih enam dekad.

“Sudah tentu kita semua hendak pembaharuan dan rakyat Sabah juga mahukan infrasturktur terbaik…

“Semalam saya telah menyuarakan kepada Perdana Menteri betapa pentingnya pakej Fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo iaitu sebanyak 22 pakej untuk dilaksanakan secara initiatif kewangan swasta (PFI).

“Kenapa saya minta secara PFI adalah mungkin Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai duit untuk melaksanakan projek itu mengikut bajet yang ada.

“Kalau dalam setahun kita cuma dapat satu ataupun dua pakej, ini bermakna sehingga 2050 pun lebuhraya itu belum dapat dinikmati di Sabah,” katanya.

Menurut beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Sabah, Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa perkara itu akan dibawa ke kabinet untuk diputuskan.

Katanya setakat ini, Lebuhraya Pan Borneo telah siap sekurang-kurangnya 60 peratus dan sejumlah empat (4) lagi pakej baru telah dianugerahkan pada awal bulan ini.

“Jadi secara keseluruhannya, kita ada lebih kurang 37 pakej sekarang. Kalau bukan pasal COVID-19 ataupun hujan lebat saya lihat projek itu mampu disiapkan menjelang tahun 2023,” beliau berkata.