KOTA KINABALU, SABAH – Loji air di Penampang yang tersumbat dengan lumpur ekoran banjir kilat baru-baru ini punca bekalan air terputus sementara waktu bagi sesetengah kawasan dalam daerah tersebut.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar memberitahu, biasanya kerja-kerja pembersihan boleh memakan masa sehingga lima (5) hari.
“Bila loji air kita ditenggelami air lumpur, proses pencucian adalah agak lama sehingga kualiti air bersih dapat dijamin semula…
“Timbul lagi masalah jika ada ‘parts’ (bahagian) yang rosak. Jika adanya didapti kerosakan diluar kemahiran teknikal jurutera Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mahupun Jabatan Kerja Raya, bahagian gantian terpaksa dipesan daripada luar negara.
“Kita semua berdoa agar kerosakan tidak begitu teruk kerana masa untuk bahagian itu sampai adakalanya sampai sebulan,” katanya.

Bung berkata dia telah mengarahkan Pengarah JANS bagi menangani isu tersebut dengan cepat.
“Buat masa ini kita menghantar tangki-tangki air untuk memastikan penduduk yang terjejas mendapatkan bekalan air bersih…
“Kabinet telah melantik saya untuk mempengerusikan satu jawatankuasa khas bagi meninjau dan mengkaji masalah bencana alam khsusnya banjir kilat di Sabah.
“Apabila hujan tanpa henti selama empat hingga lima jam, air banjir akan naik mendadak. Kita masih tidak tahu dari mana sumber atau punca kejadian itu jadi kita perlu buat kajian lebih mendalam,” katanya.
Beliau tidak menafikan bahawa kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo mungkin antara penyumbang kepada banjir selain pihak kontraktor yang menemui kekangan sehingga berlakunya penangguhan kepada projek pembinaan loji air kecil yang sepatutnya mengatasi isu itu.

Berkenaan tuntutan sagu hati daripada sesetengah penduduk yang tinggal di sepanjang kawasan berhampiran pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Bung berkata mereka sebenarnya sedang duduk di kawasan rizab jalan raya milik kerajaan.
“Kalau saya cakap dia orang menceroboh pun tidak bagus juga…kalau mereka mahu menuntut pun mereka tiada lokus standi, itu memang salah satu faktor dia juga. Banyak faktor, berpuluh-puluh,” katanya.