MUHYIDDIN NAFI TERIMA WANG RM1.3 JUTA DARI UKSB

MUHYIDDIN NAFI TERIMA WANG RM1.3 JUTA DARI UKSB

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin menafikan menerima wang tunai sebanyak RM1.3 juta dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Beliau dalam satu kenyataan rasmi semalam berkata demikian selepas beliau dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan oleh seorang pengurus pentadbiran syarikat UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam keterangan syarikat berkenaan, beliau kononnya telah diberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta di antara bulan Jun dan Ogos 2018 seolah-seolah memberi gambaran Muhyiddin menerima sogokan.

“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut…

“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu,” tegas beliau yang turut menyeru merujuk kepada satu laporan media massa terdahulu.

Tambah Muhyiddin, beliau sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya beliau telah menerima sogokon wang tunai.

“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas…

“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya,” jelasnya.

Muhyiddin turut menjelaskan bahawa beliau tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.

“Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah…

“Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini,” kata Muhyiddin lagi.