Kehangatan PRU-15 Semakin Dirasai, Parti Politik Di Sabah Mula Umum Calon 

Kehangatan PRU-15 Semakin Dirasai, Parti Politik Di Sabah Mula Umum Calon 

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin dirasai susulan parti politik masing-masing kini telah mula mengumumkan calon yang bakal berentap sebelum hari penamaan calon menjelang 5 November ini.

Di peringkat negeri Sabah, parti politik sama ada parti politik nasional mahupun tempatan telah mula mengumumkan calon politik masing-masing.

Sebelum ini, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal yang sebelum ini telah mengumumkan bakal bertanding sebanyak 25 kerusi Parlimen termasuk satu kerusi Parlimen Labuan.

Sidang media Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mesyuarat Majlis Tertinggi WARISAN di ibu pejabat WARISAN Kolombong Kota Kinabalu pada 12 Okt yang lalu…(Ihsan Foto: WARISAN Sabah)

Beliau telah mengumumkan beberapa calon parti di setiap daerah dalam siri program jelajahnya dan pelancaran jentera WARISAN.

Sementara itu, parti MUDA dan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang terdiri dari parti komponen PKR, DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan AMANAH bakal mengumumkan calon pada hari yang sama iaitu 31 Oktober (Isnin) minggu hadapan.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew (duduk tiga dari kiri) bersama wakil parti komponen PH di Tawau pada 20 Okt yang lalu…

Pada hari terbabit, Parti MUDA dijadualkan akan mengadakan sidang media pengumuman calon bertempat di ibu pejabat MUDA sekitar Damai, disini dan akan turut dihadiri oleh presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain itu, PH Sabah menerusi Program Jelajah Mega Harapan Sabah dijangka bakal membuat pengumuman sama di De’ River (Restoran Riverside View) bertempat di Tuaran.

Bagi Program Jelajah Mega Harapan Sabah, antara pemimpin yang dijangka hadir adalah Pengerusi PH Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyambut Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jelajah Harapan Sabah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan La Salle Tanjung Aru pada 23 Okt baru-baru ini…(Sumber Foto: Ihsan UPKO)

Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dijangka bakal mengumumkan calon mereka pada 1 atau 2 November ini.

Perkara terbabit dilaporkan telah dimaklumkan oleh Setiausaha GRS, Datuk Masidi Manjun, semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama pemimpin parti komponen GRS pada program Jelajah GRS di Dewan Masyarakat Kota Marudu pada 16 Okt yang lalu…

Sebelum ini, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony dalam dua sidang media berasingan telah mengumumkan seramai empat orang calon yang bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kimanis dan Sepanggar.

Beliau dijangka akan mengumumkan calon selebihnya hari ini dalam satu program yang diadakan di Tenom.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony (tengah) memegang tangan calon Kimanis, Amat Md Yusof (dua dari kiri) dan Jumardie Lukman (tiga dari kanan) bertempat di Pejabat Parti KDM pada 25 Okt baru-baru ini…