Pemuda, Wanita PBS Diseru Sokong Penuh Kerjasama Dalam GRS

Pemuda, Wanita PBS Diseru Sokong Penuh Kerjasama Dalam GRS

0
SHARE
Joachim
Dr Joachim (tengah), Malianah (kiri) dan Dr Christoper melaungkan laungan bersatu bersama perwakilan Pemuda dan Wanita dalam persidangan itu ( Sumber Foto: Ihsan PBS )

KOTA KINABALU, SABAH – Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam menyeru perwakilan Pemuda dan Wanita PBS untuk menyokong sepenuhnya kerjasama yang terjalin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda kali ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan KDCA semalam beliau juga meminta semua perwakilan bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal menjelang.

Joachim menyatakan bahawa meskipun PBS adalah parti tertua di Sabah dengan pengalaman selama 39 tahun dalam politik, ahli parti perlu terus belajar daripada pemimpin terdahulu yang setia dengan perjuangan PBS.

“Oleh itu, pemuda dan wanita memainkan peranan penting untuk menjelaskan serta meneruskan perjuangan PBS,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan persediaan untuk menghadapi PRN tahun hadapan.

“Kita harus bersedia mulai sekarang, terutamanya di kawasan-kawasan yang telah dimenangi PBS, untuk memastikan relevansi perjuangan kita bagi rakyat Sabah,” katanya.

Di kawasan yang belum mempunyai wakil rakyat, beliau mencadangkan agar calon yang sesuai dikenal pasti lebih awal.

“Berikan sokongan penuh kepada sesiapa yang bakal menjadi calon GRS,” katanya sambil menegaskan bahawa kerjasama komponen dalam GRS adalah faktor penting untuk mencapai kemenangan.

Beliau yakin sekiranya semua komponen GRS bekerjasama erat, mereka berpeluang memenangi lebih daripada dua pertiga kerusi yang dipertandingkan.

“Tetapi kejayaan ini memerlukan kerjasama bukan sahaja dalam PBS, malah di seluruh GRS. Kita tiada halangan berkerjasama dengan mana- mana parti termasuk dari semenanjung namun parti lokal yang sepatutnya menjadi dominan untuk memerintah Sabah.

“Parti lokal adalah parti yang memahami keinginan rakyat di negeri ini,” tegasnya.

Menurutnya, knj adalah untuk memastikan Sabah tidak terpengaruh oleh kuasa luar dan terus menikmati kemajuan.