KOTA KINABALU, SABAH – Nasib tujuh (7) kontraktor terkandas atas sebuah bot besi yang hampir tenggelam di perairan Kimanis berubah selepas diselamatkan agensi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berkenaan pada 12.06 tengah hari tadi.
“Pengadu Jenggorey Juslin melalui talian MERS 999 memaklumkan sebuah bot besi telah karam sepenuhnya dan sebuah lagi bersama tujuh penumpang hampir karam…
“Sebuah bot besi yang berukuran empat meter telah karam sepenuhnya, manakala bot kedua yang berukuran 10 meter hampir tenggelam,” jelasnya.
Beliau berkata pihaknya mengaktifkan operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 12.45 tengah hari dan menggerakkan Kapal Maritim (KM) Ikhlas serta bot Pengawal 39 ke lokasi kejadian.
Pengadu bersama enam lagi kru telah diarahkan oleh petugas MRSC Kota Kinabalu untuk memakai jaket keselamatan sementara menunggu bantuan tiba.
“Ketika diselamatkan oleh KM Ikhlas pada jam lebih kurang 1.42 petang tadi, kesemua mangsa sedang berdiri di atas bot yang hampir tenggelam…
“Kesemua mangsa merupakan kontraktor bagi kerja-kerja pemasangan di perairan Kimanis,” katanya.






