KOTA KINABALU: Insiden kontena terjatuh daripada sebuah treler sehingga menghempap kenderaan di Jalan Pelabuhan Sepanggar perlu menjadi amaran serius kepada pihak berkuasa supaya bertindak segera sebelum tragedi lebih buruk sehingga meragut nyawa berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, kejadian itu tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh aspek keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat.
Beliau berkata, keberadaan kontena dan treler yang diparkir di sepanjang laluan dari Terowong Sepanggar hingga ke Sabah Port turut memerlukan perhatian segera kerana berpotensi membahayakan pengguna jalan raya.
“Keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi, apatah lagi apabila keadaan seumpama ini berpotensi mengundang tragedi yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Sehubungan itu, Aliakbar menggesa Sabah Ports, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua pihak berkaitan mengambil tindakan segera mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani isu berkenaan.
Katanya, tindakan itu termasuk meneliti pengurusan parkir kenderaan berat, meningkatkan pemantauan keselamatan serta memperketat penguatkuasaan peraturan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Janganlah kita hanya bertindak selepas tragedi berlaku. Langkah pencegahan perlu mendahului penyesalan, kerana setiap nyawa yang terancam membawa risiko kehilangan yang tidak ternilai kepada keluarga dan masyarakat,” tegasnya.
Aliakbar berkata, insiden berkenaan seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa keselamatan pengguna jalan raya perlu sentiasa diutamakan dan tidak boleh hanya diberi perhatian selepas berlakunya kemalangan.
“Jadikan kejadian ini pengajaran bersama. Jalan raya mesti kekal selamat untuk semua, dan tanggungjawab mencegah tragedi tidak boleh dibiarkan tergantung.
“Keselamatan rakyat bukan sekadar tuntutan, tetapi amanah yang wajib dipelihara,” katanya.






