CAPE TOWN, AFRIKA SELATAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) optimis fasa akut pandemik berupaya berakhir tahun ini jika 70 peratus (70%) penduduk dunia mendapat vaksin.
“Jangkaan kami ialah fasa akut pandemik ini akan berakhir tahun ini, sudah tentu dengan satu syarat, 70 peratus vaksinasi (sasaran tercapai) pada pertengahan tahun ini sekitar Jun, Julai,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita di Afrika Selatan.
“Jika itu dilakukan, fasa akut benar-benar boleh berakhir, dan itulah yang kami jangkakan. Ia di tangan kita. Ia bukan soal peluang. Ini soal pilihan.”
Memetik laporan BH, beliau bercakap kepada pemberita dalam lawatan ke Afrigen Biologiics and Vaccines yang menghasilkan vaksin COVID-19 mRNA pertama di Afrika menggunakan jujukan Moderna.

“Kami menjangkakan vaksin ini lebih sesuai dengan konteks di mana ia akan digunakan, dengan kekangan penyimpanan berkurangan dan pada harga lebih rendah,” katanya.
Vaksin akan tersedia untuk ujian klinikal pada November, dengan kelulusan dijangka pada 2024.
Afrigen mengetuai projek perintis, disokong oleh WHO dan inisiatif COVAX.
Hanya 11 peratus penduduk Afrika diberi vaksin yang disifatkan sebagai kadar terendah di dunia.
Minggu lalu pejabat WHO di Afrika berkata benua itu mesti meningkatkan kadar vaksinasinya “enam kali ganda” untuk mencapai sasaran 70 peratus.





