KIULU: Pendekatan politik berhemah yang diamalkan ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menjadi antara faktor utama yang mengekalkan kekuatan Parti Bersatu Sabah (PBS) di kawasan itu menjelang Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU17) akan datang.
Joniston, yang mula memegang kerusi DUN Kiulu sejak Mei 2013 dan kini berkhidmat bagi penggal ketiga, menang dengan keputusan kukuh pada pilihan raya 2020 yang memperlihatkan beliau memperoleh 4,007 undi dan majoriti 1,221 undi.
Setiausaha PBS N15 Kiulu, Golubi Guntarek berkata Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, menonjolkan gaya kepimpinan yang tidak bersifat konfrontasi, sebaliknya menumpukan kepada kerja dan hasil pembangunan nyata.

“Joniston tidak pernah mengaibkan lawan. Beliau lebih suka membuktikan dengan tindakan dan kerja nyata. Itu yang membuatkan rakyat terus percaya dengan kepimpinannya,” kata Golubi.
Beliau berkata, walaupun berdepan dengan banyak tuduhan dan kritikan daripada pembangkang, Joniston tetap tenang dan menjawab dengan prestasi kerja, bukan dengan kata-kata.
“Ramai pemimpin lain suka menghasut dan menyerang peribadi lawan. Tapi beliau tidak begitu. Biar tindakan dan pencapaian menjadi jawapan,” tambahnya.
Golubi berkata bahawa di bawah kepimpinan Joniston sepanjang lima tahun lalu, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan yang secara langsung meningkatkan taraf hidup rakyat Kiulu.

Antara pencapaian utama ialah pembinaan lebih 100 buah rumah kos rendah (Rumah SMJ), pembinaan lima jambatan tinggi bagi menggantikan lintasan rendah yang sering terputus ketika musim hujan, dan penubuhan Pejabat Daerah Kecil Kiulu sejak 2021. Projek pembesaran Pekan Kiulu dengan jambatan ke Kampung Bayaq, rumah kedai serta rumah mampu milik dan kemudahan baharu turut dilaksanakan.
Golubi berkata hasil pembangunan ini telah menjadikan Kiulu sebagai hab pelancongan kedua terbesar di Sabah selepas Kota Belud.
“Kalau di Sabah, Kiulu boleh dianggap hab pelancongan nombor dua selepas Kota Belud. Ini hasil perancangan jangka panjang yang diterajui oleh Joniston sendiri,” ujarnya.
Tolak dakwaan pembangkang
Golubi turut menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan GRS tidak membawa pembangunan yang seimbang. Semasa pentadbiran Warisan di bawah Datuk Seri Shafie Apdal, katanya, tiada projek besar yang dilaksanakan di kawasan Kiulu, Tamparuli atau Sulaman.
“Kalau kita bandingkan dengan zaman dulu, perbezaannya jelas. Sekarang bukan sahaja ada pembangunan infrastruktur, tapi juga pembangunan insan,” katanya.
Pertembungan banyak penjuru

Menurut Golubi, Kiulu dijangka menyaksikan pertandingan enam hingga lapan penjuru pada PRN akan datang. Antara yang disebut akan bertanding termasuk parti komponen Pakatan Harapan seperti UPKO, Warisan, parti-parti baharu serta beberapa calon bebas.
Beliau berkata kemasukan UPKO ke kawasan tradisi PBS–GRS mencerminkan senario yang mungkin menguji kekuatan pakatan di kalangan komuniti Kadazandusun Murut (KDM).
“Kami dengar UPKO juga mahu bertanding di sini, begitu juga parti lain dan calon bebas. Tapi walau banyak penjuru, keyakinan kami tetap kuat,” katanya.
DUN Kiulu mempunyai 17,236 pengundi berdaftar.
Golubi yakin, dengan asas pembangunan dan rekod perkhidmatan yang kukuh, PBS masih menjadi pilihan utama rakyat Kiulu.
“Kami tidak janji bulan dan bintang. Kami buktikan dengan kerja. Itu kekuatan sebenar PBS di Kiulu,” tegasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).






