Kelindan Bas Sekolah Didakwa Lakukan Amang Seksual

Kelindan Bas Sekolah Didakwa Lakukan Amang Seksual

0
SHARE
Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa kerana melakukan amang seksual dan mahu menghasilkan bahan pornografi terhadap seorang kanak-kanak perempuan, tiga tahun lalu...

JOHOR BAHRU – Seorang kelindan bas sekolah telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru kelmarin atas pertubuhan melakukan amang seksual dan dalam persediaan menghasilkan pornografi kanak-kanak ke atas kanak-kanak perempuan di dalam van sekolah, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Goh Heng Hong, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dalam pertuduhan pertama, warga emas itu dituduh menggunakan seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun dalam persediaan untuk menghasilkan suatu pornografi kanak-kanak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam van sekolah antara Mac sehingga Julai 2019 di dalam daerah ini.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, lapor Utusan Malaysia.

Heng Hong boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat tidak kurang daripada lima sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, warga emas itu didapati telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak yang sama dengan menyentuh peha dan dada mangsa itu bagi maksud seksual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam van sekolah antara Mei sehingga Jun 2019 di dalam daerah ini.

Bagi perbuatan itu, lelaki itu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah SEKSYEN (14a) akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh di hukum di bawah akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.

Kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan warga emas itu diikat jamin memandangkan tertuduh masih bekerja sebagai kelindan van sekolah itu dikhuatiri bertemu serta mengganggu mangsa dan keluarganya kerana menggunakan laluan sama seperti mangsa hendak ke sekolah.

Sekiranya dibenarkan diikat jamin, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM35,000 bagi setiap pertuduhan manakala perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa selain tidak bertemu dan menganggu keluarga dan mangsanya.

Dalam rayuannya, Heng Hong mengaku tidak mampu membayar rayuan sebanyak itu kerana pendapatan bulanannya sebanyak RM1,000 sebulan.

Warga emas yang tidak berkahwin dan tinggal seorang diri di Permas Jaya, di sini serta mengalami masalah kesihatan seperti sakit jantung dan darah tinggi merayu wang jaminan dikurangkan kepada hanya RM1,000.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti melapor diri sebulan sekali di balai polis, menyerahkan passport antarabangsa serta tidak mengganggu mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh memohon khidmat guaman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memandangkan tertuduh tidak mampu melantik peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.