Polis Tahan Boy Iman Berhubung Penipuan Jualan Rumah

Polis Tahan Boy Iman Berhubung Penipuan Jualan Rumah

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

AMPANGĀ – Polis menahan Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau dikenali ‘Boy Iman’ bersama dua lagi suspek utama di Ampang dan Setapak bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, didapati syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi.

“Bagaimanapun, selepas bayaran dilunaskan pembinaan rumah berkenaan tidak dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, susulan daripada itu lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang semalam.

“Turut ditahan dua pemilik syarikat Juta Kelulut Global Resources masing-masing berusia 29 dan 45 tahun yang juga suspek utama kes ini.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat di pejabat suspek di Wisma DBI, Ampang polis merampas Nissan Fairlady dan BMW E92, tiga telefon pintar, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties,” katanya.

Katanya, berdasarkan penelitian yang dilakukan polis didapati sindiket penipuan semakin bijak memanipulasi kehendak dan keperluan masyarakat untuk mewujudkan pelbagai skim penipuan serta pelaburan bagi menarik perhatian mangsa.

“Ini dapat dilihat melalui kewujudan pelbagai skim berasaskan perniagaan, emas, perumahan dan seumpamanya.

“Masyarakat diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan skim atau tawaran luar biasa yang dibuat oleh mana-mana orang atau syarikat,” katanya.

Menurut Acryl Sani, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.