KOTA KINABALU, SABAH – Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Kinabalu telah mengarahkan seorang kontraktor untuk membayar sebanyak RM36,358.85 kepada seorang pengguna setelah melanggar perjanjian kerja-kerja pengubahsuaian rumah.
Pembayaran itu dibuat secara tunai oleh pihak kontraktor semalam sambil disaksikan oleh pegawai TPPM.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pengguna tersebut telah melantik kontraktor berkenaan untuk membuat pengubahsuaian pada Februari 2020.
Ekoran pandemik COVID-19, kerja-kerja terhenti pada Disember 2020 dengan bayaran penuh diberikan kepada pihak kontraktor untuk pembelian bahan binaan dan upah buruh.
“Namun sebahagian kerja-kerja pengubahsuaian tidak disiapkan oleh pihak kontraktor…
“Pengguna mendapati bahawa pihak kontraktor tidak melakukan kerja pengubahsuaian rumah mengikut jumlah bayaran yang diterima,” katanya.
Kes tersebut telah didengar pada 16 November 2021 di dalam Mahkamah TTPM Kota Kinabalu.
Georgie berkata Presiden TPPM telah memberikan Award di mana pihak kontraktor hendaklah membayar RM36,358.85 kepada pengguna dalam tempoh 14 hari dari tarikh Award.
“Sejak Negeri Sabah masuk ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4, banyak kes yang tertangguh dapat diselesaikan berikutan kelonggaran pergerakan…
“Bagi tahun 2020, sehingga 25 November 2020, daripada 146 kes yang telah didaftarkan, sebanyak 143 kes telah diselesaikan.
“Bagi tahun 2021 pula sehingga 25 November 2021, sebanyak 104 kes telah didaftarkan dan sebanyak 66 kes telah diselesaikan,” jelasnya.
Beliau menyarankan orang ramai agar mengenali dengan lebih dekat fungsi dan bidang kuasa TTPM bagi memudahkan masyarakat menyelesaikan masalah sekiranya berlaku sebarang tuntutan akibat kecuaian atau pelanggaran perjanjian antara pengguna dengan pembekal.
“TTPM mendengar tuntutan yang difailkan bagi kes-kes tebus rugi pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 dengan jumlah amaun tuntutan tidak melebihi RM50,000.00…
“Ia ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut tebus rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhidmatan dengan cara yang mudah, murah dan cepat,” ujarnya.





