ADUN SEGAMA, MOHAMADDIN KETAPI SERTAI BERSATU

ADUN SEGAMA, MOHAMADDIN KETAPI SERTAI BERSATU

0
SHARE
Mohammadin Ketapi menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Hamzah Zainudin...

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi semalam secara rasminya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Keahlian beliau diterima dan seterusnya diluluskan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bernama melaporkan Hamzah sebagai berkata keahlian Mohamaddin disambut baik pada mesyuarat Ahli Majlis Bersatu semalam yang dipengerusikan Presiden parti dan bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bersatu mengalu-alukan keahliannya kerana ia bukan sahaja mengukuhkan lagi kedudukan parti dalam kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, malah dapat memberi manfaat yang besar kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Parlimen dan kawasan DUN yang beliau (Mohamaddin) wakili,” katanya.

Mohamaddin mengumumkan pada 30 Okt lepas bahawa beliau keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) kerana mahu menumpukan perhatian kepada pembangunan Lahad Datu dan Segama.

Menurutnya, rakyat kawasan tersebut tidak melihat apa-apa pembangunan di bawah pimpinan parti tersebut kerana terlalu diasingkan dari kerajaan memerintah dan akhirnya rakyat sendiri yang menanggung rugi.

Datuk Mohamaddin Ketapi membuat pengumuman keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pad30 Okt) di Marina Sutera Harbour, Kota Kinabalu…

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Hamzah berkata Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menentukan strategi dan persediaan bagi pilihan raya 18 Dis ini.

Mengulas pilihan raya Melaka pada 20 Nov baru-baru ini, Hamzah berkata Bersatu berpendapat keputusan pilihan raya negeri menunjukkan PN adalah parti yang berpengaruh serta mendapat sokongan padu dalam kalangan pengundi di negeri itu khususnya daripada penjawat awam.