KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Fairuz Renddan menegaskan jentera pemuda parti kini 90 peratus bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), yang dijangka berlangsung bila-bila masa.
Beliau berkata hampir 60 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda, menjadikan mereka penentu utama masa depan dan hala tuju negeri.
Oleh itu, katanya, peranan pemuda amat penting, bukan sekadar memilih calon tetapi menentukan corak kepimpinan.
Dalam ucapannya di Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat di SICC pada Sabtu, Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pintasan menggesa ahli untuk terus bekerja keras tanpa mempersoalkan soal calon, sebaliknya fokus memastikan kemenangan parti dan mempertahankan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, kekuatan 90,000 ahli Pemuda seluruh Sabah akan digerakkan sepenuhnya sebaik Dewan Undangan Negeri dibubarkan.






