Wanita Hilang Semalaman di Kebun Getah Ditemui Selamat Pagi Tadi

Wanita Hilang Semalaman di Kebun Getah Ditemui Selamat Pagi Tadi

0
SHARE

SOOK: Seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari kebunnya di Kampung Johan Jaya semalam, telah ditemui dalam keadaan selamat pagi ini kira-kira 100 meter dari kenderaannya.

Mangsa, Saisah Sadiman, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas gagal pulang ke rumah seperti kebiasaannya.

Menurut anaknya, Saisah keluar menuju ke kebun sekitar jam 6 pagi pada 8 Mei untuk membersihkan kawasan dan kebiasaannya akan pulang menjelang petang.

Namun, sehingga malam, beliau masih belum pulang, menyebabkan ahli keluarga menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan

Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 malam.

“Sebuah jentera bersama empat anggota bomba dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.14 malam. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai penduduk kampung dan anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan radius pencarian sejauh 300 meter dari lokasi kenderaan mangsa ditemui.

“Bagaimanapun, pencarian ditangguhkan sementara pada jam 12.30 pagi kerana faktor keselamatan dan akan disambung pada awal pagi.

Usaha pencarian membuahkan hasil apabila mangsa ditemui oleh orang awam pada jam 7.30 pagi, hanya sekitar 100 meter dari tempat keretanya diletakkan.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ahli keluarga. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi,” jelas Faisal.

Keseluruhan operasi melibatkan seramai 11 anggota penyelamat serta satu jentera bomba jenis FRV-1.

Kejadian ini menjadi peringatan tentang pentingnya langkah keselamatan apabila berada di kawasan terpencil atau bekerja secara bersendirian di kebun.

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa memaklumkan pergerakan kepada keluarga serta membawa peralatan komunikasi dan kecemasan yang mencukupi.