Polis Giat Memburu Dua Suspek Lelaki Samun Guna Parang, Kayu Besbol

Polis Giat Memburu Dua Suspek Lelaki Samun Guna Parang, Kayu Besbol

0
SHARE
Tangkap layar daripada video kes samun yang tular...

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu dua orang suspek lelaki yang melakukan samun bersenjatakan kayu besbol dan parang terhadap seorang pemandu kereta jenis Mercedez-Benz di Jalan Persiaran Pegaga, Klang, Selangor, semalam.

Dilaporkan, suspek turut mencederakan termasuk patah tulang jari tangan pemandu berkenaan.

Berdasarkan satu rakaman video berdurasi 56 saat yang tular dalam laman sosial X, mangsa lelaki berusia 40 tahun disamun ketika memberhentikan keretanya di jalan yang dipenuhi kenderaan lain.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah yang dipetik Berita Harian berkata, kejadian berlaku jam 2.50 petang selepas mangsa dikatakan baru mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Meru, Klang, pada jam 2 petang.

“Mangsa yang memandu kereta jenis Mercedez-Benz berwarna hitam kemudian menuju ke Bukit Tinggi, Klang, untuk bertemu rakan sebelum didatangi suspek ketika memberhentikan kenderaannya di Persiaran Pegaga…

“Seorang suspek terbabit yang bersenjatakan kayu besbol memecahkan cermin pintu belah penumpang hadapan manakala seorang lagi bersenjatakan parang pula memecahkan cermin pintu bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kamalariffin berkata, suspek memaksa mangsa menyerahkan beg komputer riba sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Yaris berwarna kelabu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah tulang jari ketiga tangan kiri dan luka calar sebelah lengan kanan, selain kerugian RM6,000 akibat kehilangan komputer riba serta kerosakan kedua-dua cermin pintu keretanya,” katanya.

Beliau berkata, Polis Klang Selatan memandang serius kejadian itu dan telah menggerakkan anggota agar suspek terbabit dapat ditangkap dalam masa terdekat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan melalui talian 03-33772222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.