KITA KUAT JIKA KITA BERSATU: KM HAJIJI

KITA KUAT JIKA KITA BERSATU: KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan Sabah selagi rakyat bersatu.

“Sebagai Ketua Menteri, saya komited untuk melihat Sabah yang kita cintai kekal bersatu, makmur, dan inklusif. Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu…

“Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan kita sebagai rakyat Sabah. Dengan bersatu, kita akan dapat melawan sebarang percubaan untuk menjejaskan kestabilan dan untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2024.

“Saya berasa terharu dan bersyukur kepada orang ramai dan semua penyokong yang sehaluan yang telah menyokong kami, percaya dengan keikhlasan kami untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah…

“Mari kita mengetepikan politik dan buang sebarang perpecahan yang hanya akan memecahbelahkan. Kita mesti melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu dalam kepelbagaian, dan komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat,” katanya.

Dengan sokongan daripada rakyat, Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri telah mengorak langkah yang baik dalam memajukan pelan pembangunannya iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Di ambang Tahun Baharu ini, sudah tiba masanya untuk merenung kembali tahun lalu dan menanti kedatangan tahun baru dengannharapan dan keyakinan…

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran (pada 2023), kita tetap teguh dalam melaksanakan agenda SMJ dan terus berada di landasan. Komitmen kita terhadap pertumbuhan akan terus kekal dan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Hajiji berkata dalam Belanjawan Sabah 2024 yang telah diluluskan baru-baru ini, berjumlah RM5.701 bilion, adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

“Kita telah menyasarkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negeri dalam semua sektor. Kita akan terus membina kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan spin-off ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata semua kejayaan dan rancangan ini tidak akan bermakna tanpa gabungan usaha dan komitmen semua serta persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan itu.

Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Kabinet, penjawat awam dan rakyat Sabah atas sokongan berterusan mereka dan mengucapkan selamat tahun baru kepada semua.