DUA HINGGA TIGA TAHUN TEMPOH SELESAI ISU BEKALAN AIR, ELEKTRIK: KM HAJIJI

DUA HINGGA TIGA TAHUN TEMPOH SELESAI ISU BEKALAN AIR, ELEKTRIK: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melakukan gimik perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri akan memastikan masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat Sabah ketika ini dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan untuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua keperluan rakyat itu mulai sekarang.

Katanya, ia selaras komitmen kerajaan negeri meletakkan usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat negeri ini sebagai keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik yang menjadi masalah sekarang, dan kita akan pastikan kedua-dua masalah ini
dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi ke hadapan. Jika diurus
dengan baik, insyaAlah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini.

“Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, bagi masalah air, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, dekat
sini yang sedang dalam proses penyiapan akhir naik taraf ketika ini dijangka dapat
beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.

Katanya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (JLS) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini, sekaligus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kedua-dua kawasan ketika ini.

Beliau berkata, loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk
menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.

“Untuk air, kerajaan negeri sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air dari 40 JLS kepada 80 JLS di Kogopon, Papar yang sedang dilaksanakan dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026.

“Selain itu sebanyak 80 JLS lagi tambahan di LRA Telibong II bagi mengatasi masalah
air di utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran yang akan beroperasi sepenuhnya
pada awal tahun depan,” katanya.

Katanya, menerusi usaha kerajaan negeri, ditambah peruntukan RM320 juta dari
kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di
Sabah, masalah bekalan air di negeri ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Bagi bekalan elektrik, katanya antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan loji
janakuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.

Jelasnya, pelaksanaannya projek itu bakal dimulakan dalam masa terdekat dan akan
dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat menyatakan keyakinannya
terhadap kemampuan parti itu dan rakan komponen di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertahankan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, selain kerusi yang disandangnya, tiga kerusi lagi iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu diyakini kekal milik GRS atas kerjasama semua komponennya.

“Di Tuaran saya beri jaminan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu tetap milik
GRS pada PRN akan datang. Kita sedia menghadapi apa juga cabaran dan bertarung dengan mana-mana parti yang menentang kita di Tuaran.

“Apa yang penting ialah kerjasama parti antara kita, jangan ada sabotaj antara kita. Kalau GRS sudah tentukan calon maka tugas kita Gagasan Rakyat untuk menangkan calon kita,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS turut menasihatkan perwakilan pada mesyuarat
berkenaan dan rakan parti di keempat-empat DUN supaya sama-sama memastikan
kemenangan berpihak kepada GRS.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masidi Manjun.