
BEAUFORT, SABAH – Seorang lelaki yang memegang sebilah parang dan pisau pemotong daging bertindak agresif dengan menyerang kenderaan polis ketika cuba ditahan dalam kejadian 2.30 pagi Ahad.
Suspek 40 tahun itu dikatakan dalam keadaan khayal setelah menghidu gam di di Kampung Kiambor, Kuala Penyu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Ismail Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden pada pukul 12.16 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis IPD Beaufort bersama anggota daripada pelbagai cawangan digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba suspek terbabit keluar dari kawasan semak dan bertindak menyerang kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan sebilah parang dan terus melarikan diri.
“Bagaimanapun suspek berjaya diberkas dan ketika ditahan suspek masih agresif sambil memegang parang dan pisau pemotong daging,” katanya.
Katanya dua kenderaan pasukan milik PDRM dirosakan oleh suspek dengan menggunakan sebilah parang.
Ismail berkata suspek diraman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 September untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506, 186 dan 427 Kanun Keseksaan.