SABAH LANCAR SE-RAMP 2040: KM HAJIJI

SABAH LANCAR SE-RAMP 2040: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Abdul Nasser sedang memberi taklimat kepada Hajiji berkenaan SE-RAMP 2040 bertempat di Menara Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU: Sabah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) bagi menangani keperluan jangka masa pendek dan membina daya tahan jangka yang mampan untuk industri tenaga negeri ini pada masa akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan induk terbabit menggariskan hala tuju serta inisiatif strategik negeri dengan jangkaan kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia pembekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun hadapan.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan SE-RAMP 2040 dilaksanakan secara
sistematik dan berkesan,” katanya ketika berucap di dalam Majlis Pelancaran SE-RAMP 2040 bertempat di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Di bawah pelan tersebut, Majlis Tenaga Sabah akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Hajiji bagi memantau, menyokong dan memberi panduan ke atas pelaksanaan inisiatif jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang dirancang.

Antara objektif SE-RAMP 2040 adalah untuk memastikan bekalan kuasa yang berdaya
harap, dengan akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat sambil memastikan kemampanan untuk masa depan Sabah.

“Ia juga bagi melengkapkan Dasar Tenaga Negara yang dilancarkan tahun lalu, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR – National Energy Transition Roadmap) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini,” katanya.

Katanya, SE-RAMP 2040, yang digubal oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) merangkumi pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi trilema tenaga bagi
memastikan ia terjamin, mampu milik serta kelestarian alam sekitar.

“Kita tahu dan sedar bahawa isu bekalan elektrik di Sabah telah membelenggu rakyat sejak sekian lama. Kerajaan komited untuk menangani isu yang diwarisi ini dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Tambahan pula, dengan dasar mesra pelabur Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), keperluan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air kekal menjadi keutamaan.

“Pelan ini sudah tentu akan membuka jalan kepada kami untuk meningkatkan bekalan elektrik untuk keperluan industri, dan saya mahu ECoS melaksanakan mandat ini ke tahap terbaik untuk kepentingan rakyat
dan negeri,” katanya.

Hajiji berkata penubuhan ECoS melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan Enakmen Bekalan Gas 2023 berikutan penyerahan kuasa kawal selia pembekalan gas dan juga fungsi Suruhanjaya Tenaga daripada kerajaan Persekutuan pada Januari tahun ini adalah sejarah bagi Sabah.

Katanya, ini menunjukkan komitmen dan kerjasama tinggi kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pelan Induk ini juga merupakan salah satu kejayaan kerajaan negeri mendapatkan hak kita di bawah MA63,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengulangi bahawa kerajaan negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu masing-masing daripada Suruhanjaya Tenaga Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), tiga bulan dari sekarang pada 3 Januari 2024.

“Dengan mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas sektor tenaga di Sabah melalui ECoS,
yang telah pun menjalankan tugasnya sebagai pengawal selia gas daratan, juga akan mengawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh dibaharu.

‘Ini bermakna kerajaan negeri akan dapat membuat keputusan ke atas perkara melibatkan penggubalan undang-undang, penyediaan polisi, serta pembangunan infrastruktur elektrik dan tenaga boleh baharu bagi memastikan ianya selari dengan pelan pembangunan holistik Sabah.

“Walaupun tarikh pengambilalihan kuasa kawal selia sepenuhnya ini hanya akan
berkuatkuasa pada tahun hadapan namun pihak ECoS telah maju setapak ke hadapan
untuk menyediakan pelan induk ini dari aspek pembekalan gas dan elektrik termasuk tenaga boleh baharu di negeri Sabah untuk 17 tahun akan datang.

“Pelan ini adalah kebanggaan kerajaan negeri kerana kita akan dapat melakarkan
laluan kita untuk memacu pembangunan sektor gas dan bekalan elektrik kerana kitalah yang lebih memahami keperluan tenaga negeri kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata SE-RAMP 2040 telah menggariskan 16 strategi untuk menangani trilema tenaga

Antara strateginya ialah memastikan jidar simpanan penjanaan yang mencukupi,
mempelbagaikan campuran bahan api, dan perolehan sumber tenaga dan teknologi baharu untuk jangka panjang bagi tujuan mencapai keselamatan tenaga.