Sabah Nafi Dakwaan Kelulusan Lesen Carigali, Tuduhan MalaysiaNow Bermotif Politik – Nizam

Sabah Nafi Dakwaan Kelulusan Lesen Carigali, Tuduhan MalaysiaNow Bermotif Politik – Nizam

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memberikan kelulusan atau sokongan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd untuk menjalankan aktiviti carigali mineral di negeri ini.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, laporan yang disiarkan portal MalaysiaNow itu bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat mengelirukan dan berniat mencemar nama baik kepimpinan tertinggi negeri Sabah.

“Tiada sebarang lesen carigali pernah dikeluarkan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd,” tegasnya, semalam.

Perkara tersebut turut disahkan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah merangkap Ketua Merinyu Galian Negeri, Datuk Bernard Liew Chau Min, yang menjelaskan bahawa tiada kelulusan diberikan kepada pihak berkenaan dan semua kenyataan atau promosi mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Jelas Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) agensi penasihat negeri dalam urusan sumber mineral, menjelaskan bahawa mereka hanya memberikan kebenaran bersyarat kepada Bumi Suria untuk memohon lesen carigali, namun kebenaran itu telah dibatalkan secara rasmi melalui surat bertarikh 24 Mac 2025 setelah syarikat gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.

“SMM juga menegur MalaysiaNow kerana tidak melaporkan fakta penting tersebut, sekali gus menyumbang kepada penyebaran maklumat yang salah dan berat sebelah,” katanya.

Susulan itu, SMM telah mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengulangi atau menyebarkan semula laporan palsu tersebut.

Agensi itu turut menyatakan kesediaan mengambil tindakan saman fitnah terhadap portal berkenaan dan individu yang terlibat menyebarkan tuduhan tidak benar.

Kenyataan turut menolak rakaman audio yang didakwa melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif SMM sebagai satu lagi cubaan manipulasi untuk mengelirukan rakyat.

Rakaman itu dikatakan memetik suara individu lain yang disalah kenal pasti, sekali gus memperkukuh dakwaan bahawa naratif yang dibina bersifat sensasi dan bermotif politik.

Nizam menegaskan bahawa semua permohonan berhubung sumber asli negeri dikendalikan melalui proses telus, berasaskan undang-undang, dan bebas daripada unsur salah guna kuasa. Tindakan pantas terhadap syarikat yang gagal mematuhi syarat menunjukkan ketegasan pentadbiran negeri terhadap integriti.

“Kerajaan Negeri kekal komited menjunjung prinsip ketelusan dan menolak segala bentuk fitnah yang cuba menggugat kestabilan negeri,” ujarnya.

Beliau juga menggesa rakyat Sabah untuk menilai isu ini secara rasional dan berdasarkan fakta sebenar, bukannya melalui laporan atau rakaman berat sebelah yang sarat dengan manipulasi emosi dan persepsi politik.

Nizam menyeru semua pihak untuk tidak terpengaruh dengan tuduhan yang sengaja timbul pada waktu mencurigakan, ketika negeri Sabah sedang giat melaksanakan agenda pembangunan di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Fokus kita kekal kepada usaha memajukan negeri, memperkasa rakyat, dan memastikan hasil negeri dimanfaatkan secara adil dan bertanggungjawab,” katanya.