Pintu Barisan Nasional Sentiasa Terbuka, Yusuf Yacob Bakal Masuk Semula?

Pintu Barisan Nasional Sentiasa Terbuka, Yusuf Yacob Bakal Masuk Semula?

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Sindumin, Datuk Yusof Yacob, dijangka mengumumkan keahlian beliau dalam UMNO Barisan Nasional (BN) dalam tempoh terdekat.

Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan itu berkata langkah tersebut supaya kerajaan Sabah tidak jauh daripada kepimpinan pusat.

“Hal cukup jelas sekarang..Kita telah merapatkan hubungan bersama Datuk Bung dan beliau mahu bersama. Ini adalah asas kita untuk berunding…

“Sebelum ini saya sudah menyatakan untuk memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yakob. Itu muktamad.

“Hasrat itu saya sudah sampaikan kepada kepimpinan Barisan Nasional Sabah. Borang sudah isi, nanti ada masanya kita umumkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah di Sutera Harbour Magellan sini yang diadakan petang tadi.

Bekas ahli UMNO selama 23 tahun itu berkata ingin melupakan masa lalu dan berpandang ke hadapan.

“Kami sayang generasi muda yang memerlukan bimbingan kepimpinan. Saya ingat kami yang sudah di atas ini tidak banyak lagi kami fikir selain masa hadapan Sabah melalui generasi muda,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai majlis itu, katanya kehadiran pemimpin-pemimpin dari pelbagai parti politik menunjukkan Sabah sudah sedia untuk bersama selain memahukan perpaduan.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata belum menerima borang dari Yusof namun prinsip BN adalah bersifat terbuka.

“Kita mengalukannya kerana kita memikirkan rakyat dan pembangunan negeri. Sabah sudah lama ketinggalan dari segi ekonomi dan sebagainya…

“Saya rasa sudah tiba masanya kita memperkukuhkan kerjaan supaya rakyat Sabah juga berhak hidup dalam keadaan yang lebih baik dari hari ini,” katanya.

Beliau berkata Yusof hadir pada majlis berkenaan hanya sebagai seorang pemimpin yang memberi sokongan kepada semangat Hari Raya Aidilfitri.

“BN tetap terbuka. Saya sudah lama meminta dia (Yusof) fikir-fikir tapi masanya belum sampai,” katanya.

Berkenaan kehadiran bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang turut hadir ke majlis itu dan mengundang spekulasi, Bung berkata:

“Dia sebahagian daripada kepimpinan kita jadi kita menjemput beliau. Tiada isu berkenaan hal ini. Ia tidak bermaksud setiap orang yang datang mahu bertanding kerusi,” katanya sambil tertawa.