Sabah Antara Negeri Terbaik Urus Pandemik COVID-19 – Masidi

Sabah Antara Negeri Terbaik Urus Pandemik COVID-19 – Masidi

0
SHARE

RANAU, SABAH – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah menjadi antara negeri terbaik dalam mengurus pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi nilai kerja yang cukup terpuji dikalangan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengharungi pandemik COVID-19.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin merakamkan setinggi terima kasih atas pengorbanan, kerja keras semua doktor dan kakitangan JKNS serta semua yang terlibat kerana mempamerkan satu nilai kerja yang cukup terpuji semasa kita mengharungi pandemik ini.

“Selaku Menteri bertanggungjawab untuk menyelaras usaha menangani pandemik di Sabah, terus terang saya katakan, saya begitu bangga dengan kerja usaha semua petugas sehingga Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan Sabah merupakan negeri terbaik di Malaysia mengurus pandemik,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah juga terkenal sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi yang baik dikalangan masyarakat setempat.

Katanya, sikap bertoleransi juga amat penting dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama dalam satu keluarga sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Di Sabah ada Dusun, ada Kadazan dan pelbagai lagi suku kaum namun kita tidak merasakan itu sebagai satu perbezaan kerana apa yang penting adalah sikap toleransi yang paling tinggi di Malaysia.

“Selain itu salah satu tarikan berkesan para pelancong datang ke Sabah juga melalui sikap toleransi rakyat yang begitu tinggi…

“Justeru saya berharap ini akan dapat diterjemahkan di peringkat jabatan atau agensi lain agar kita dapat mengekalkan keunikan di Sabah,” katanya.

Justeru Masidi mahu semua penjawat awam khususnya kakitangan JKNS untuk mengekalkan keharmonian toleransi yang tinggi selain menganggap rakan sekerja sebagai sahabat mahupun saudara sendiri.