SANDAKAN: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan berjaya menangkap seekor buaya dianggarkan seberat 200 kilogram dan sepanjang sembilan kaki dalam satu operasi di Kampung Sungai Obar, Batu 7, Sandakan awal pagi tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Kapt (PA) Sulaiman Salama, kejadian berlaku kira-kira jam 1.42 pagi apabila Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan berhubung kemunculan seekor buaya di bawah kolong rumah penduduk selepas reptilia berkenaan dilihat mengejar seekor anjing.
“Pengadu yang ketakutan melihat buaya semakin menghampiri kawasan rumah segera menghubungi talian kecemasan NG999 bagi mendapatkan bantuan segera. Susulan panggilan itu, pasukan operasi dikerahkan ke lokasi dan tiba tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan APM bertindak pantas menjerut dan menutup mata buaya menggunakan tali, penyepit serta selimut keselamatan bagi mengelakkan haiwan tersebut bertindak agresif.
Operasi berkenaan berjaya ditamatkan pada jam 2.53 pagi, menjadikan keseluruhan tempoh operasi selama 49 minit.
Tiada kecederaan atau insiden tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
Seramai seorang pegawai bersama tujuh anggota terlibat dalam operasi itu, menggunakan dua buah kenderaan Light Rescue Vehicle (LRV) bagi menyokong pelaksanaan tugas di lapangan.
Kapt (PA) Sulaiman turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, khususnya bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai, serta segera menghubungi talian NG999 sekiranya melihat haiwan liar yang berpotensi membahayakan keselamatan.
Beliau menegaskan bahawa kecekapan dan kesiapsiagaan anggota APM dalam menangani insiden sebegini penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin.






