Enam Lelaki Ditahan Termasuk Remaja 16 Tahun Ditahan, Disyaki Terlibat Rusuhan di...

Enam Lelaki Ditahan Termasuk Remaja 16 Tahun Ditahan, Disyaki Terlibat Rusuhan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang remaja berusia 16 tahun selepas disyaki terbabit dalam kejadian rusuhan di kawasan Kampung Kuala Merotai Besar, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam apabila seorang lelaki berusia 19 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar teman wanitanya.

“Ketika melalui kawasan kampung berkenaan, kenderaan mangsa telah dihalang beberapa lelaki tidak dikenali sebelum dia ditarik keluar dan dipukul beramai-ramai tanpa sebab munasabah.

“Mangsa sempat mengenali salah seorang suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Bombalai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bombalai telah melancarkan operasi memburu suspek di kawasan Kampung Merotai sebelum kesemua suspek diberkas kira-kira jam 4.05 petang tadi.

“Dalam operasi tersebut, polis berjaya menahan enam suspek lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 21 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan itu,” katanya.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan suspek sebelum berlaku pergaduhan,” katanya lagi.

ACP Jasmin berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam tindakan ganas atau mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kejadian jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.