Sabah FC Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia

Sabah FC Mara Ke Suku Akhir Piala Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah FC berjaya mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan PJ City 1-0 di halaman sendiri, Stadium Likas pada aksi terakhir Kumpulan D malam tadi.

Gol tunggal skuad Sang Badak itu dihasilkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Risto Mitrevski pada minit ke-20.

Peluang itu terhasil selepas penyerang Sabah, Amri Yahyah dijatuhkan pemain PJ City di dalam kotak penalti.

Sebelum itu, Risto turut mencipta peluang untuk menjaringkan gol seawal minit ketiga, namun tendangan jarak jauh dari luar kotak penalti menyebabkan bola tinggi melepasi palang gol PJ City.

Risto Mitrevski meraihkan jaringan gol penaltinya…

Permainan kedua-dua pasukan kelihatan seimbang sepanjang separuh masa pertama dengan PJ City turut berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Antaranya melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti Sabah pada minit ke-25 yang berjaya menewaskan penjaga gol Rozaimie Rohim, namun gol itu dibatalkan kerana pemainnya berada dalam kedudukan ofsaid.

Permainan kedua-dua pasukan agak kucar kacir berikutan keadaan padang yang becak disebabkan hujan lebat sebelum permainan bermula.

Situasi itu berterusan pada babak kedua dengan Sabah berusaha mengekalkan kedudukan dan menambah gol, manakala PJ City berusaha menyamakan kedudukan yang sudah cukup untuk membantu mereka mara ke suku akhir.

Tekanan itu menyebabkan kedua-dua pasukan bermain secara agresif dengan masing-masing melakukan serangan namun gagal menghasilkan jaringan pada babak kedua sehinggalah wisel penamat ditiupkan oleh pengadil.