KOTA KINABALU, SABAH – Individu dari Wilayah Persekutuan Labuan tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum masuk ke Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata demikian antara kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) ekoran peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada Isnin.
Beliau merangkap jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata had kapasiti kehadiran pekerja Sektor Awam Persekutuan ke tempat kerja juga telah kembali kepada 100 peratus (100%).
“Sektor Awam Negeri, Swasta dan Pembinaan masih tertakluk kepada peratusan pekerja yang telah lengkap divaksin dan ketetapan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.
Peraturan kehadiran maksimum seramai 50 orang ke mesyuarat atau bengkel juga dimansuh dan digantikan dengan 50 peratus (50%) kapasiti ruang premis.
Katanya, jumlah had kehadiran penonton di stadium juga dinaikkan daripada 30 (30%) peratus ruang kapasiti ke 50 peratus (50%).
Beliau juga berkata semua majlis sosial dan sukan terbuka seperti hiking dan tertutup (dalam gimnasium) dibenarkan dengan had 50 peratus (50%) kapasiti premis dengan penjarakan sosial.
“Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dibernarkan dengan kemasukan pelajar secara berperingkat tertakluk kepada ketetapan KPM…
“Yang sama turut diguna pakai untuk Tabika, Tadika Swasta dan Institusi Pendidikan Swasta,” jelasnya.
Setakat ini, seramai 2,069,122 orang atau 75 peratus (75.01%) penduduk dewasa Sabah telah menerima dos lengkap vaksin manakala penduduk remaja yang telah lengkap dos vaksin adalah seramai 294,996 atau 67 peratus (67.97%) populasi.