Singapura Henti Bayaran Kos Perubatan Hospital Buat Pesakit COVID-19 Enggan Terima Vaksin

Singapura Henti Bayaran Kos Perubatan Hospital Buat Pesakit COVID-19 Enggan Terima Vaksin

0
SHARE

SINGAPURA – Pesakit COVID-19 di negara ini yang masih enggan menerima vaksin bakal menanggung sendiri kos perubatan sepanjang menghidapi jangkitan berkenaan.

Ini selepas Kerajaan Singapura dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan akan menghentikan bayaran bil perubatan akibat COVID-19 kepada mereka yang memilih tidak divaksinasi bermulai bulan hadapan (Disember 2021).

Singapura berdepan gelombang COVID-19 yang buruk sejak permulaan pandemik dengan rekod 2,000 ke 3,000 kes sehari dan bilangan kematian yang ramai serta menyebabkan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

Kerajaan terpaksa menampung bil perubatan semua warga Singapura dan penduduk lain yang dijangkiti virus itu, kecuali mereka yang diuji positif sekembalinya dari luar negara.

Namun bermula 8 Disember depan, AFP melaporkan bahawa Kementerian Kesihatan Singapura pada Isnin berkata, pihak berkuasa akan mula menetapkan bayaran kepada pesakit COVID-19 yang memilih tidak divaksin.

“Orang yang tidak divaksin adalah sebahagian besar daripada mereka yang memerlukan rawatan pesakit yang memerlukan penjagaan intensif dan secara tidak seimbang ia menyumbang kepada tekanan terhadap sumber penjagaan kesihatan kami,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Mereka yang dijangkiti masih boleh menggunakan pengaturan pembiayaan biasa untuk menampung kos, seperti insurans swasta.

Bil bagi yang mereka yang tidak layak untuk vaksinasi – seperti kanak-kanak di bawah umur 12 tahun atau mereka yang mempunyai alasan perubatan tertentu – masih tetap akan dibayar sepenuhnya.

Singapura mencapai salah satu kadar vaksinasi tertinggi di dunia dengan 85 peratus daripada 5.5 juta penduduknya disuntik sepenuhnya.

Negara itu juga mengalami wabak ringan mengikut piawaian global dan hanya menghadapi gelombang virus besar dalam tempoh beberapa bulan lepas apabila varian Delta melanda.