HESTERVILLE, AS – Setelah hilang selama tujuh tahun, seeokor kucing berjaya ditemui di kawasan sejauh 2,414.016 kilometer dari rumah pemiliknya.
Menurut laporan Wion News, kucing bernama Ashes itu hilang ketika pemilik tuanya Denise Cilley yang yang menetap di bandar Chesterville, negeri Maine, Amerika Syarikat (AS) sedang meraikan ulang tahun anak perempuannya yang ke-10 pada 2015.
Sewaktu sambutan hari jadi tersebut, mereka menyedari kucing peliharaan mereka hilang, dan mereka cuba mencarinya di seluruh kawasan rumah.
Namun, setelah beberapa ketika mencari, kucing tersebut masih tidak berjaya ditemui dan dengan perasaan sedih mereka menyimpulkan bahawa pemangsa telah membunuh kucing berkenaan.
Bagaimanapun baru-baru ini, Cilley menerima satu pesanan suara yang menyatakan bahawa kucing yang bernama Ashes itu dikesan di negeri Florida sejauh 2,414.016 kilometer dari negeri Maine.
Identiti kucing berkenaan telah disahkan oleh pejabat doktor haiwan dengan bantuan mikrocip yang ditanam di dalam kulitnya.
Rakan Denise Cilley, Janet Williams dan keluarganya di Florida telah ditugaskan untuk menjaga haiwan berkenaan buat sementara waktu, demikian menurut berita yang disampaikan oleh stesen televisyen WABI TV.
Pada 9 Februari lalu, Ashes dibawa ke rumah asalnya oleh seorang rakan kepada Janet. Cilley dilaporkan sedang bersiap sedia untuk mengambil kucing peliharaannya di lapangan terbang antarabangsa Portland.