Pakar Forensik Dr Jessie Hiu Buat Laporan Polis Selepas Terima Ugutan

Pakar Forensik Dr Jessie Hiu Buat Laporan Polis Selepas Terima Ugutan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, membuat laporan polis berhubung ugutan dalam talian yang diterimanya selepas memberi keterangan dalam inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir, 13.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan laporan dibuat pada tengah hari Jumaat selepas Dr Hiu dimaklumkan mengenai ugutan itu oleh Pengarah Hospital Queen Elizabeth. 

Polis membuka kertas siasatan dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dr Hiu, 58, memberi keterangan penting pada 4 September lalu, termasuk menolak kemungkinan Zara Qairina terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak, namun menyerahkan keputusan muktamad kepada mahkamah. 

Beliau juga menjelaskan mustahil mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh kerana faktor berat badan.

Peguam keluarga mangsa, Hamid Ismail, menasihatkan orang ramai menghormati kepakaran Dr Hiu dan tidak memperlekehkan beliau.

“Menghina atau mempersoalkan integriti beliau tidak membantu sesiapa,” katanya.

Prosiding inkues masih berlangsung dan dijangka bersambung minggu depan dengan keterangan tambahan daripada saksi pakar.

Dr Hiu berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998 dan menjalankan ratusan bedah siasat setiap tahun. Beliau turut menjadi saksi pakar di mahkamah di Sabah dan Labuan.