PRU Sabah: Arshad Umum Cadangan Dewan Serbaguna Untuk Penduduk Kuala Manggatal

PRU Sabah: Arshad Umum Cadangan Dewan Serbaguna Untuk Penduduk Kuala Manggatal

0
SHARE

SEPANGGAR: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Arshad Idris, mengumumkan cadangan pembinaan sebuah dewan serbaguna baharu untuk penduduk Taman Kuala Manggatal sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.

Mengutamakan isu asas komuniti sebagai fokus awal kempen, Arshad berkata ketiadaan dewan memaksa penduduk menutup jalan setiap kali mengadakan majlis seperti perkahwinan atau keramaian, sekali gus mengganggu kelancaran laluan di kawasan tersebut.

“Saya lihat ada keperluan mendesak untuk membina dewan berhampiran masjid. Jika diberi kemenangan, insya-Allah saya akan usahakan pembinaan ini demi keselesaan penduduk,” katanya.

Mengulas mengenai persaingan 11 calon di Karambunai yang merangkumi BN, PN, Warisan dan parti lain, Arshad menyeru pengundi agar membuat pilihan bijak dengan mengekalkan GRS bagi memastikan pembangunan dan perancangan sedia ada tidak terhenti.

“Mulai hari penamaan calon, pelbagai parti akan datang merayu. Saya mohon rakyat jangan terima semua itu bulat-bulat. Terimalah GRS yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor agar kerajaan dapat meneruskan perancangan untuk rakyat,” ujarnya.

Arshad berkata, demikian ketika bertemu petugas di Markas GRS Taman Kuala Manggatal, sambil menzahirkan keyakinan bahawa pengundi Karambunai akan terus bersama GRS berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan yang stabil dan komited terhadap agenda pembangunan seluruh Sabah.