TAMPARULI: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyeru pengundi agar menggunakan kebijaksanaan mereka pada Pilihan Raya Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 dengan memilih calon yang mampu membawa kemajuan berterusan kepada kawasan masing-masing serta masa depan Sabah.
Ketika ditemui media pada Jelajah Mega Tamparuli di Tapak Tamu Tamparuli hari ini, Hajiji menegaskan bahawa undi adalah hak demokrasi setiap individu dan kerajaan menghormati kebebasan tersebut.
“Undi itu di tangan mereka, kita bagi kebebasan. Tapi kalau tanya saya, undilah calon yang boleh bawa kemajuan, bukan saja di kawasan tapi untuk Sabah di masa akan datang,” katanya.
Mengulas suasana kempen yang memasuki minggu terakhir, Hajiji berkata penerimaan rakyat terhadap calon-calon GRS-PH sangat memberangsangkan, khususnya di kawasan Parlimen Tuaran.
“Daripada tempat-tempat yang saya kempen, Alhamdulillah sambutan sangat baik. Pengundi pilih kemajuan.
“Mereka cakap sudah bagi peluang kepada pihak lain sebelum ini, dan kini mereka mahu kerajaan GRS dikekalkan untuk lima tahun lagi,” tegasnya.
Beliau turut yakin gelombang positif ini akan diterjemahkan dalam keputusan pada 29 November nanti, hasil keyakinan rakyat terhadap rekod pencapaian kerajaan GRS dalam pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat serta kestabilan politik negeri.






