Strain Baharu COVID-19 Merebak Seluruh China Pada Musim Panas

Strain Baharu COVID-19 Merebak Seluruh China Pada Musim Panas

0
SHARE

BEIJING, CHINA – Satu strain baharu COVID-19 yang merebak seluruh China pada musim panas, merekodkan jangkitan lebih 70 peratus tetapi risiko kesihatan terhadap penduduk republik itu kekal rendah.

Keadaan itu diterangkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China menerusi akaun WeChatnya pada Ahad baru-baru ini.

Memetik laporan BH, CDC menjelaskan perkadaran varian EG.5 dalam kalangan strain coronavirus yang menular ketika ini meningkat daripada 0.6 peratus pada April lalu kepada 71.6 peratus pada bulan ini.

Ia sekali gus menjadikan strain terbabit yang dominan di kebanyakan wilayah di China, selain trend sama diramal berterusan.

“EG.5 tersebar luas terutamanya disebabkan oleh keupayaannya yang dipertingkatkan untuk menghasilkan imuniti, mengurangkan keupayaan meneutralkan antibodi yang dihasilkan jangkitan sebelumnya,” kata agensi berkenaan.

EG.5 juga dikenali sebagai Eris iaitu sub-cabang Omicron strain XBB.1.9.2 dan pertama kali ditemui di Indonesia pada Februari lalu.

Setakat Khamis lalu, strain berkenaan dikesan berada di sekurang-kurangnya 52 negara dan wilayah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikannya semula sebagai ‘Variant of Interest’ pada 9 Ogos lalu tetapi menjelaskan tahap risiko global untuk varian itu adalah rendah.

“Walaupun EG.5 menunjukkan semakin tersebar luas, kelebihan pertumbuhan dan sifat lepasan imun, tiada perubahan yang dilaporkan dalam keterukan penyakit setakat ini.

“Risiko kesihatan awam yang dicetuskan oleh EG.5, yang sebelum ini dinilai sebagai rendah, kini dipertingkatkan,” jelas WHO.

XBB dan subvariannya menyumbang 99.1 peratus daripada kes COVID-19 di China.

Menurut CDC, penyelidik tidak melihat perbezaan besar dalam gejala klinikal antara kes berpunca EG.5 dan sub-cabang XBB yang lain.

“China berdepan gelombang jangkitan varian siri XBB antara April dan Jun, imuniti yang mantap dalam kalangan orang ramai memberikan perlindungan berkesan terhadap varian EG.5 baharu.

“Keseluruhan ancaman COVID-19 di China kekal pada tahap rendah, dengan pola beralun. Sedikit tekanan diberikan kepada sistem kesihatan di seluruh negara dan tiada tanda-tanda wabak berskala besar dalam jangka pendek,” katanya.

CDC pada awal bulan ini melaporkan, dalam kalangan individu yang mengalami simptom seperti selesema, 13.4 peratus dijangkiti COVID-19 pada penghujung bulan lalu iaitu peningkatan daripada 12 peratus pada pertengahan bulan.