KPDNHEP Patahkan Rangkaian Penjualan Gula Pasir Kasar Secara Tidak Sah

KPDNHEP Patahkan Rangkaian Penjualan Gula Pasir Kasar Secara Tidak Sah

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tuaran menyita 96 kilogram gula pasir dan menahan seorang lelaki tempatan yang menjual barangan tersebut tanpa lesen sah.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah, Saripudin Bin Moleng, berkata hasil risikan membawa kepada serbuan ke atas kenderaan suspek 25 tahun tersebut.

Suspek didapati telah menjual melebihi RM2.85 sekilogram iaitu harga siling yang telah ditetapkan bagi gula pasir.

“Gula pasir kasar berkenaan telah ditemui di bahagian belakang kenderaan terbabit dan siasatan awal mendapati ianya adalah untuk dijual kepada individu yang telah membuat tempahan kepada suspek…

“Siasatan awal juga mendapati lokasi jualan gula pasir kasar ini ialah di sekitar Kota Belud hingga ke Kota Kinabalu manakala harga jualan gula pasir tersebut dijual mencecah sehingga RM5.00 sekilogram bergantung kepada lokasi pembeli,” jelasnya.

Bungkusan gula kasar yang ditemui di belakang kereta suspek di Tuaran, Sabah…

Kenderaan yang digunakan oleh individu terbabit juga turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai anggaran keseluruhan sitaan ini adalah RM12,273.60 iaitu merangkumi nilai anggaran 96 kilogram gula berjumlah RM273.60.

Serbuan telah dijalankan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa daripada KPDNHEP Tuaran bersama-sama KPDNHEP Sabah berasaskan aduan orang ramai dan risikan selama tiga hari termasuklah penyamaran melalui media sosial.

“Tindakan kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, mana-mana individu boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya…

“KPDNHEP memberikan amaran dan peringatan tegas kepada pihak-pihak tertentu agar tidak mengambil kesempatan semasa keadaan pandemik pada masa ini dengan menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak menyorok barang kawalan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda,” katanya lagi.

Saripudin mengingatkan pengguna untuk terus menggunakan saluran aduan rasmi KPDNHEP bagi menyalurkan aduan dan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan.