
BEAUFORT, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah jumlah pelaksanaan Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan November dan Disember 2023.
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain peningkatan jumlah pelaksanaan, KPDN juga akan memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga jualan rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.
“Pendekatan ini diambil sebagai salah satu strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan.
“Pelaksanaan pendekatan ini akan ditumpukan di kawasan-kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat.
“Pendekatan ini juga adalah sejajar dengan usaha untuk menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam susulan pengumuman penamatan langkah sementara penetapan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November 2023.
“Langkah penetapan harga kawalan sementara berkenaan dilaksanakan bermula bulan Februari 2022 disebabkan harga yang terlalu tinggi pada masa tersebut yang melibatkan pemberian subsidi kepada penternak,” katanya dalam ucapan pelancaran program di sini hari ini.
Penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 November 2023 bagi Negeri Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12.00 per kilogram (kg) bagi Pantai Barat dan RM12.30 per kg bagi Pantai Timur.
Di Sarawak, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum ini adalah berbeza mengikut daerah dengan kadar di antara RM10.80 per kg hingga RM13.90 per kg.
Sementara itu, harga kawalan ayam super bagi Labuan adalah RM12.30 per kg. 2 5. Dengan penamatan langkah penetapan harga kawalan sementara bermula 1 November 2023.
“KPDN telah melaksanakan pemantauan harian setakat 4 November 2023 di pelbagai premis di seluruh negara.
“Bagi Sabah, hasil pemantauan mendapati harga ayam super di pasaran adalah di antara RM11.49 per kg hingga RM13.90 per kg. Di Sarawak penawaran harga di pasaran adalah di antara RM8.90 per kg hingga RM18.90 per kg.
“Sementara itu, harga ayam super di pasaran Labuan adalah di antara RM9.00 per kg hingga RM13.90 per kg,” Jelas Armizan.