TONGOD: Tiga buah rumah dan dua motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Imbak, di sini pada pagi Ahad.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 11.31 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan (BBP Kinabatangan) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 166 kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berukuran 30×40 kaki persegi serta dua rumah tidak kekal masing-masing berukuran 25×20 dan 18×25 kaki persegi.
“Kesemua tiga rumah tersebut terbakar 100 peratus. Dua buah motosikal jenis Honda EX5 turut musnah sepenuhnya dalam kejadian ini. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung sebelum ketibaan jentera bomba pada jam 1 petang.
Pasukan bomba kemudian bertindak memadamkan bara-bara api menggunakan satu aliran hos salur bantu mula serta menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
Operasi melibatkan satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dengan lima anggota serta sebuah kenderaan TRITON bersama dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod.
Turut membantu di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan Sabah Electricity.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.20 petang sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang selepas pasukan memastikan keadaan benar-benar selamat.






