APMM Tahan Bot Nelayan Indonesia Kerana Ceroboh Perairan Malaysia

APMM Tahan Bot Nelayan Indonesia Kerana Ceroboh Perairan Malaysia

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 6 menahan bot nelayan warga Indonesia kerana disyaki menceroboh perairan Malaysia di kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Kukup pada jam 10.45 pagi semalam.

Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Pengarah Maritim Daerah 6 Johor Bahru, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman bahawa, kapal ronda yang melaksanakan Ops Satria Selatan di perairan barat negeri ini mengesan bot KM Punggur Bahari 88 yang didaftarkan di Cirebon, Indonesia berada di perairan negara.

Menurutnya, ketika bot itu ditahan, pihaknya mendapati ada peralatan menangkap ikan berada di bot terbabit.

Katanya, bagaimanapun tiada hasil tangkapan laut ditemui kerana bot berkenaan baru keluar dari jeti di Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan oleh seorang tekong dan 12 awak-awak warganegara Indonesia berusia lingkungan 17 hingga 49 tahun.

“Bot nelayan bersama tekong dan awak-awak terbabit dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1685 dan akta berkaitan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya memandang serius kesalahan itu kerana ia akan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan juga persisir pantai selain menjejaskan ekosistem pembiakan ikan di perairan terbabit.

“Kita akan meneruskan usaha membanteras kemasukan nelayan asing untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara ini,” katanya.