SEMPORNA, SABAH – Ketua jabatan dan penjawat awam diseru agar terus fokus dan kekal memberi komitmen terhadap tugas mereka.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, ketua jabatan dan kakitangan kerajaan perlu sentiasa memberikan tumpuan terhadap tugas mereka dan terus bekerja secara profesional.
“Sebagai pihak yang melaksanakan dasar kerajaan, teruskan bekerja dengan komitmen sepenuh hati terhadap kerajaan sedia ada,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Semporna, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Pegawai Daerah Semporna, Suhaimi Ejip, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Mokhtar Hj. Hussin, dan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran), Hafizul Hafiz Ladja Hassan.
Katanya, sejajar dengan hasrat kerajaan agar penjawat awam terus berdaya tahan dan mampan serta inklusif kepada rakyat, para kakitangan perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.
“Semoga silaturrahim semua kakitangan juga akan sentiasa erat dan terus bekerja dalam satu pasukan.”
Dalam pada itu, menurut Suhaimi, Jahid merupakan seorang pemimpin berpengalaman luas sebagai mantan Pegawai Daerah, maka tidak hairanlah beliau sentiasa memahami tugasan dan keperluan di kawasan atau daerah yang dilawatinya.
Sepanjang lawatan itu, Jahid mendengar Taklimat Daerah Semporna, Taklimat Pembangunan Daerah Semporna, Jabatan Air Daerah dan Jabatan Kerja Raya Daerah Daerah Semporna.