Ditahan Polis Kerana Memandu Guna Lesen Tamat 21 Tahun

Ditahan Polis Kerana Memandu Guna Lesen Tamat 21 Tahun

0
SHARE

KOTA BHARU – Seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan kerana masih menggunakan lesen memandunya yang tidak diperbaharui sejak 21 tahun lalu.

Dia ditahan dalam sekatan jalan raya oleh anggota polis trafik di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, dekat sini yang bermula jam 11 malam dan berakhir 5 pagi tadi.

Wanita terbabit memberi alasan terlupa lesen memandunya sudah tamat tempoh sejak 1996, selain turut mengaku menjadikan PROTON Wira dipandunya sebagai kereta sewa haram sejak lima tahun lalu.

Ketika ditemui BH, wanita itu mengaku menyedari kesalahan yang dilakukannya namun masih memandu dan melanggar undang-undang tanpa memikirkan risiko.

Wanita berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Markandan Subramaniam, berkata Ops Bersepadu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu mengeluarkan 119 saman.

“Operasi juga menyita empat kereta dan 12 motosikal,” katanya.

Operasi itu dijalankan serentak di lima lokasi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Melor, Tunjong, Jalan Tok Guru dan Jalan Lundang.

“Kami turut merampas dua plastik berisi cecair dipercayai dadah yang dibawa dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun menaiki PROTON Satria,” katanya.