JOHOR BAHRU – Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Kilometer 151.4 Lebuhraya PLUS arah utara berdekatan Pagoh Johor tumbang selepas dirosakkan, hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik sebagai berkata Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris bahawa, polis menerima laporan daripada syarikat penyelenggara AES berkenaan sebelum tiba di situ pada 9.35 pagi.
“Polis menerima panggilan dari syarikat penyelenggara AES mengatakan kamera mereka di Kilometer 151.4 Lebuhraya PLUS arah Utara dirosakkan.
“Siasatan mendapati tiang ditumbangkan dan komponen AES dicuri dan serpihannya ditinggalkan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kejadian merosakkan kamera AES bukan kali pertama berlaku kerana pada Disember 2012 dua kamera AES yang dipasang di Kilometer 301.5 Lebuhraya PLUS arah Bangi menuju Kajang, Selangor, disembur cat merah, dipercayai perbuatan sabotaj.