Hari Malaysia 16 September; Polis Sabah Mempertingkatkan Kawalan Keselamatan

Hari Malaysia 16 September; Polis Sabah Mempertingkatkan Kawalan Keselamatan

0
SHARE

KOTA KINABALU – Polis Sabah akan mempertingkat kawalan keselamatan sepanjang berlangsungnya sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di sini pada 16 September ini bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi.

Memetik kenyataan portal berita Bernama, dipetik sebagai berkata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din bahawa, pihaknya telah mempersiapkan pegawai dan anggota polis yang mencukupi termasuk kawalan trafik untuk ditugaskan khusus bagi menjamin kelancaran sambutan itu, yang dijadual berlangsung di Kompleks Sukan Likas.

“Kawalan keselamatan ini tidak hanya meliputi Likas tetapi juga di ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah). Kami faham, memang ramai akan turun pada hari (sambutan) itu, dan (kawalan keselamatan juga meliputi) Lapangan Terbang (Antarabangsa Kota Kinabalu) dan kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai Kayuhan Patriot Hari Malaysia anjuran Biro Tatanegara (BTN) Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata keselamatan perairan Sabah berada dalam keadaan terkawal dan pihaknya sentiasa bersiap siaga selain terus memperketat kawalan dari semasa ke semasa.